Saturday 11 June 2011

Tempat-Tempat Menarik di Negeri Kedah Darul Aman


Fungsi asal Balai Besar adalah sebagai Balai Rongseri atau Balai Penghadapan. Ia merupakan sebahagian daripada kompleks Istana Kota Setar yang terletak di belakang bangunan ini. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710 - 1778). Bahan binaan untuk tiang, atap dan lantainya diperbuat daripada kayu.

Balai Besar dibina dengan gabungan keindahan senibina dan mempamerkan kehalusan dan kesenian pertukangan kayu Melayu yang mengkagumkan. Kayu Cengal Emas digunakan sebagai bahan utama dalam pembinaan. Bangunan Balai Besar juga dihiasi dengan ukiran berwarna keemasan dan cermin dari Cina pada bumbungnya. Terdapat 42 tiang utama yang masih kukuh sehingga hari ini.

Bangunan ini pernah mengalami kerosakan akibat serangan Armada Bugis (1770) dan Siam (1821). Semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan kedah ke-26 (1882 - 1943), bangunan ini telah dibaikpulih (1896) oleh Jabatan Kerja Raya Negeri yang diketuai oleh seorang arkitek, Muhammad bin Lebai Tambi sebagai persediaan untuk melagsungkan perkahwinan putera-puteri baginda lima bersaudara (1904).

Selain majlis perkahwinan, Balai Besar ini juga digunakan untuk melangsungkan majlis pertabalan, majlis-majlis rasmi dan persidangan Majlis Negeri (state Council) sejak 1905 hingga 1973. Pada 1805, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845) telah ditabalkan secara rasmi di Balai Besar ini dan diikuti oleh KDYMM Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 20 Februari 1959. 



Balai Nobat Negeri Kedah atau Pentas Di Raja dibina pada tahun 1907 semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Pada hari ini, Balai Nobat Negeri Kedah dijadikan tempat untuk menyimpan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang hanya dimainkan pada upacara-upacara DiRaja seperti upacara pertabalan, perkahwinan dan persemadian Di Raja.

Alat muzik Nobat terdiri dari tiga rebana besar, dua rebana kecil, satu gong dan satu serunai ini mampu menghasilkan satu gabungan bunyi yang mengasyikkan yang dikenali sebagai muzik nobat, satu bentuk lagu kebudayaan negeri Kedah. 




Bukit Kayu Hitam merupakan bandar sempadan utama di Sempadan Malaysia-Thailand. Bukit Kayu Hitam merupakan penghujung Lebuhraya Utara-Selatan, jalan raya terpanjang di Malaysia yang bermula dari Johor Bahru, Johor di selatan hingga ke sempadan Bukit Kayu Hitam.

Sejarah Bukit Kayu Hitam bermula dari zaman kemaraan tentera Siam menyerang Kedah pada tahun 1824. Menurut cerita masyarakat tempatan, nama Bukit Kayu Hitam ini asalnya diberikan oleh tentera Siam semasa berehat di sebuah bukit. Mengikut cerita, dalam perjalanan untuk menyerang Kedah, tentera Siam telah singgah di sebuah bukit dan berkampung di situ sementara meneruskan perjalanan ke Kedah. Mereka telah memasak nasi disitu dan menggunakan sebatang kayu sebagai senduk. Tanpa disedari, setelah nasi tadi masak, ia berubah menjadi kehitaman, maka tentera Siam tadi kehairanan dan mereka cuba mencari sebab kenapa nasi boleh menjadi hitam. Maka, mereka dapati ia berpunca dari kayu yang digunakan sebagai senduk tadi. Mereka menyiasat dari mana asalnya kayu tersebut dan apabila ditemui tempat kayu itu diambil mereka dapati sekitar pokok tersebut bewarna kehitaman. Pokok tersebut adalah Pokok Komoi. Maka dari situlah wujudnya Bukit Kayu Hitam di mana dalam bahasa Siam disebut Kuan Mhai Dam.

Setelah Siam kalah, orang-orang Melayu mula mendirikan perkampungan di sekitar Bukit Kayu Hitam dengan kegiatan utamanya pertanian disamping peranannya sebagai pintu masuk ke Siam untuk menjual hasil pertanian mereka. Akhirnya ia semakin berkembang yang kemudian berubah menjadi sebuah pekan kecil dimana penduduknya semakin bertambah. Dengan ini kegiatan perdagangan antara Kedah dan Siam semakin rancak disini.

Namun begitu, Bukit Kayu Hitam terpaksa ditutup sepenuhnya pada tahun 1948 berikutan keadaan Darurat 1948 dimana meningkatnya kegiatan Komunis pada masa ini. Semua penduduk, polis dan kastam diarahkan berpindah ke Changloon dan tidak dibenarkan tinggal di Bukit Kayu Hitam. Ini menyebabkan Bukit Kayu Hitam kembali menjadi hutan dan dipenuhi semak.

Pada tahun 1972, Bukit Kayu Hitam dibuka semula oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dengan membuka sebuah ladang getah di Bukit Kayu Hitam iaitu Ladang Rakyat Laka Temin. Pada masa ini juga nama Bukit Kayu Hitam telah hilang dan diganti dengan panggilan Laka Temin. Setelah pembukaan ladang ini, penduduk Laka Temin semakin bertambah. Pada tahun 1981, nama Laka Temin ditukar kembali kepada Bukit Kayu Hitam dan dengan persetujuan pihak Perancang Bandar, Bukit Kayu Hitam dikenali sebagai Bandar Bukit Kayu Hitam hingga kini.




Balai Seni negeri Kedah terletak di tengah-tengah Medan Budaya. Senibina bangunan Balai Seni negeri Kedah ini banyak dipengaruhi oleh senibina Roman sama dengan bangunan yang terdapat di "Temple of Fortune Rivals". 

Balai Seni negeri Kedah dibina pada tahun 1912 dan telah digunakan sebagai Mahkamah Tinggi sebelum ditukar menjadi pejabat kepada beberapa jabatan kerajaan negeri. Pada 25 Julai 1983, bangunan ini telah diisytiharkan sebagai Balai Seni Negeri Kedah Darul Aman oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Haji Abdul Halim Mu抋dzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. 

Kini, Balai Seni negeri Kedah merupakan nadi kepada semua aktiviti-aktiviti kebudayaan dan seni dalam Negeri dan ia diurus oleh Lembaga Muzium Negeri. 






Air Terjun Batu Hampar atau nama rasminya Taman Rekreasi Batu Hampar, Air Puteh, Serdang, Kedah. Ia diselenggarakan oleh Majlis Daerah Bandar Baharu 





Galeri Sultan Abdul Halim terletak di kawasan Medan Bandaraya (aka Kota Paris) bertentangan dengan Masjid Zahir, bersebelahan Wisma Negeri dan berhampiran Balai Seni, Balai Besar dan Balai Nobat.

Asalnya galeri ini merupakan Mahkamah Tinggi Alor Setar. Namun ia diubahsuai pada tahun 2007 untuk dijadikan sebuah galeri. Pengunjung akan dapat mengenali lebih mendalam lagi tentang keperibadian Sultan Abdul Halim, hobi dan Kesultanan Kedah di galeri ini 




Dikenali sebagai Puncak Negeri Kedah, Gunung Jerai merupakan lokasi pelancongan yang harus dikunjungi ketika bercuti bersama keluarga.Keindahan alam semula jadi dilengkapi pelbagai kemudahan awam, menjanjikan kenangan yang istimewa untuk para pengunjung. Antaranya prasarana yang tersedia adalah masjid, tempat letak kenderaan yang selamat, tandas awam, gerai makanan, gerai cenderamata dan gerai batu.

Pengunjung juga boleh mendapat maklumat tentang Gunung Jerai di Pusat Maklumat, bersebelahan dengan Masjid Jerai. Di belakang Pusat Maklumat itu, terdapat sebuah tabika kemas untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan berdekatan. Taman Permainan untuk kanak-kanak juga tersedia dalam kawasan gerai makanan, di kaki Gunung Jerai. Bersebelahan Taman Permainan pula, terdapat Pusat Jualan Florikultur Gunung Jerai. Manakala lokasi Gelanggang Futsal pula adalah di sebelah kanan selepas melawati Pusat Jualan Florikultur.

Dalam perjalanan ke puncak Gunung Jerai, pengunjung boleh menikmati keindahan persekitaran hutan semula jadi dan pemandangan saujana mata memandang Negeri Kedah. Monyet-monyet didapati berkeliaran di atas jalan semasa dalam perjalanan dan pengunjung dinasihatkan agar tidak memberi makanan untuk mengelakkan mereka bertindak agresif. Van Pengangkut disediakan untuk para pengunjung naik ke Puncak Gunung Jerai. Perjalanan ke puncak akan mengambil masa 20-25 minit dengan jarak perjalanan lebih 13 km. Dalam perjalanan, pengunjung boleh singgah di Muzium Perhutanan Sungai Teloi dan kawasan air terjun.

Selain menaiki Van Pengangkut yang disediakan, pengunjung juga boleh ke puncak Gunung Jerai dengan kenderaan sendiri. Tetapi perlu diingatkan, jalan mendaki di sini agak merbahaya. Tidak sama seperti jalan biasa. Kedudukannya yang curam dan sempit, menyukarkan pemandu untuk mengawal kenderaan dengan baik.

Terdapat beberapa kenderaan yang rosak dan terbabas ke dalam curam. Kos untuk membawa keluar kenderaan tersebut mencecah ribuan ringgit dan terpaksa ditanggung oleh pengunjung sendiri kerana Pihak Pengurusan telah memberi amaran, tidak bertanggungjawab bagi pengunjung yang menggunakan kenderaan sendiri untuk menaiki Puncak Gunung Jerai. Van Pengangkut yang disediakan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang bersesuaian untuk perjalanan ke Puncak Gunung Jerai. Bayaran yang dikenakan pula hanya RM10 untuk seorang penumpang.

Terdapat pusat penginapan di puncak Gunung Jerai bagi para pengunjung yang ingin menginap di situ iaitu The Regency Jerai Hill Resort. Pengunjung boleh menghirup udara yang nyaman dan dingin di sini sambil merehatkan minda lantas berupaya melupakan kesibukan kerja dan menghilangkan stress. Pemandangan sawah padi terbentang luas dilihat menghijau pada siang hari manakala lampu-lampu kenderaan, lampu-lampu hiasan dan bangunan-bangunan di Bandaraya Alor Setar pula menghiasi pemandangan pada waktu malam.

Pihak Pengurusan Gunung Jerai juga menawarkan aktiviti merentasi hutan bagi pencinta alam semulajadi. Terdapat pelbagai spesies tumbuhan tropika di kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Pokok-pokok hujan tropika dan landskap bunga-bungaan yang hidup subur mewarnai panorama hutan Gunung Jerai. Menariknya, bunga-bungaan di sini mengembang dengan saiz lebih besar daripada spesis sama yang tumbuh di tempat lain.

Gunung Jerai Resort pula terletak di tingkat tertinggi Gunung Jerai. Dengan berjalan kaki beberapa meter ke bawah, pengunjung boleh melawat Tapak Warisan, Makam Syeikh Abdullah Yamani, Telaga Tuk Syeikh dan Muzium Perhutanan. 





Berada di kawasan Junjung dan jaraknya dari Bandar Kulim adalah 14 kilometer. Semenjak tahun 1980-an lagi destinasi ini telah menjadi tarikan pelancong dengan produk utamanya adalah air terjun dan persekitaran ekosistem hutan, kebun getah serta dusun buah-buahan. Pada musim buah-buahan khususnya musim durian, pengunjung boleh membeli buah berkenaan secara lansung dari pekebun. Program / aktiviti utama yang boleh di lakukan di sini adalah berkelah, mandi-manda, berenang dan perkhemahan. 


Kota Kuala Kedah - Tempat Bersejarah
Kuala Kedah Fortress - Historical Places



Kota Kuala Kedah atau Kota Kuala Bahang terletak di tebing utara muara sungai Kedah. Ianya dibina sebagai benteng pertahanan bagi negeri Kedah selain dari ibu negerinya di Alor Setar. Sejarah Ringkas Kota yang dibina dalam tahun 1771 semasa zaman pemerintahan sultan Muhammad Jiwa ini siap pembinaanya dalam tahun 1780. Reka bentuk kota ini telah dilukis oleh Hafiz Sab yang ketika itu menjawat jawatan Dato' Maharaja Kadhi. Manakala tukang-tukang mahirnya dibawa darpada India.

Sebuah pintu gerbang telah dibina di bahagian tembok timur menghadap ke Alor Melaka dikenali dengan nama "Pintu Gerbang Kadapuri". Kota ini juga pernah diserang oleh Bugis, Acheh dan Siam. Dalam tahun 1909 apabila Kedah dengan rasminya diletak di bawah penguasaan British beberapa buah pejabat kerajaan telah dibina di dalam kawasan kota ini, termasuklah rumah api. Sebuah pintu gerbang baru telah dibina yng wujud hingga ke hari ini.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu Kota ini dijadikan markas tenteranya sehinggalah kekalahan mereka kepada British dalam tahun 1945. Pada 31 Ogos 1978 kota ini telah diwartakan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti (sekarang Jabatan Muzium Malaysia) sebagai "Tapak Tanah Bersejarah" mengikut peruntukan "Akta Benda Purba 1976" di bawah akta 165. Dalam bulan November 2000 Jabatan Muzium dan Antikuiti (sekarang Jabatan Muzium Malaysia) telah melaksanakan kerja-kerja konservasi tembok timur dan selatan, termasuk membina semula pintu Gerbang Kacapuri yang telah runtuh dalam tahun 1970.



Muzium Kota Kuala Kedah - Lokasi Bersejarah
Kuala Kedah Fortress Museum - Historical Places



Muzium Kota Kuala kedah terletak kira kira 1 km dari pekan kuala kedah. Muzium ini mempamerkan pelbagai barangan peninggalan sejarah Kota Kuala Kedah.



Hari & Masa Lawatan
Sabtu-Khamis : 9.00 pagi-6.00 petang
Jumaat : 9.00 pagi-12.30 tengah hari
(waktu rehat utk Solat Jumaat)
Jumaat : 2.30 petang - 6.00 petang

Bayaran Masuk : Percuma

Kemudahan Pengangkutan
Pengunjung boleh menaiki Bas dari Alor Setar ke Kuala Kedah ataupun menaiki teksi dari Alor Setar atau Terminal feri Kuala Kedah 








1 comment: